Recent Posts

Sunday, July 18, 2010

Epilepsi Perlu Dirawat

MASIH terbayang kekecohan di kantin sekolah apabila salah seorang pelajar darjah empat tiba-tiba rebah dan menggelupur, terbaring di lantai di celah bangku panjang, mulutnya berbuih tidak sedarkan diri. Cikgu yang kebetulan makan bersama segera bangun, mengarahkan murid lain supaya tidak berkerumun dan mengiringkan badan pesakit.

 
TANDA... penyakit pada sistem saraf yang menyebabkan gangguan 
otak.
TANDA... penyakit pada sistem saraf yang menyebabkan gangguan otak.
KAWAL...epilepsi kadangkala boleh membahayakan pesakit.
KAWAL...epilepsi kadangkala boleh membahayakan pesakit.

Sejak hari itu, kami memang memberi lebih perhatian kepada pesakit dengan memastikan dia sentiasa ditemani seorang rakan walaupun ke tandas untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Malah cikgu juga sentiasa mengingatkan kami apa yang perlu dilakukan sekiranya pesakit berkenaan mendapat serangan lagi, terutama supaya tidak mengerumuni pesakit kerana ia boleh menyebabkan dia sesak nafas.

Epilepsi atau sawan ialah penyakit pada sistem saraf yang menyebabkan gangguan berulang atau tidak dijangka pada fungsi otak akibat penghasilan cecair berlebihan pada otak. Keadaan inilah yang menyebabkan seseorang pesakit mengalami serangan sawan. Kenapa dan bagaimana boleh berlaku pengeluaran cecair berlebihan pada otak, tiada siapa yang benar-benar tahu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan satu hingga dua peratus penduduk dunia atau kira-kira 50 juta orang menderita akibat epilepsi. Ramai beranggapan epilepsi adalah penyakit kanak-kanak tetapi tahukah anda bahawa ia juga boleh menyerang orang dewasa walaupun mereka tidak pernah mengalami masalah ini ketika kecil.

Menurut Dr Perunding Neurologi Kanak-kanak, Dr Wong Sau Wei, walaupun epilepsi boleh terjadi pada semua peringkat umur tetapi lebih 50 peratus kes bermula sebelum pesakit berumur 25 tahun. Gangguan ini biasanya bermula pada zaman kanak-kanak dan boleh berlanjutan hingga dewasa. Bagaimanapun dengan kemunculan pelbagai ubat baru, serangan epilepsi boleh dikawal dan dihentikan.

Kebanyakan kes epilepsi kanak-kanak tidak diketahui puncanya (dipanggil epilepsi idiopatik) namun ada beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan masalah ini seperti trauma fizikal ketika dilahirkan, demam panas, kecederaan kepala, jangkitan pada otak, kekurangan oksigen pada otak atau berlaku gangguan pada perkembangan otak.
Pada orang dewasa pula gangguan sistem saraf ini boleh berpunca daripada kecederaan di kepala atau apabila bahan kimia otak mengalami perubahan contohnya akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol, strok, serangan jantung atau penyakit Alzheimer (nyanyuk), kata Perunding Neurologi, Datuk Dr Raymond Azman Ali.

Tempoh serangan sawan berbeza antara pesakit antara beberapa saat, minit atau jam. Jenis gejala juga bergantung kepada bahagian otak yang mengalami gangguan. Gangguan aktiviti bahan kimia otak ini jika dibiarkan tanpa rawatan boleh menjejaskan fungsi otak.

Epilepsi yang muncul selepas dewasa juga membolehkan doktor mengesan sejarah penggunaan ubat anti kemurungan, pendedahan kepada plumbum, karbon monosida atau bahan kima lain; juga mungkin kesan kekurangan tidur yang berpanjangan, tekanan dan perubahan hormon. Walaupun anda mungkin pernah mengalami kecederaan di bahagian kepala, tidak semestinya anda akan mendapat epilepsi.

Antara punca yang dipercayai boleh menyebabkan epilepsi ialah:


  • Demam panas (hingga menyebabkan kerosakan pada kawasan otak yang dipanggil lobus temperal iaitu bahagian yang mempunyai fungsi membuat penilaian bunyi, bahasa dan pertuturan)




  • Mesial sklerosis - yang mengakibatkan sawan pada kanak-kanak dewasa atau orang dewasa




  • Kecederaan atau kehadiran darah beku pada otak - gejala epilepsi bergantung kepada bahagian dan sejauh mana teruknya kecederaan otak yang dialami seseorang




  • Jangkitan atau keradangan pada otak seperti meningitis atau ensefalitis (akibat jangkitan virus atau bakteria). Seseorang itu juga boleh mengalami sawan jika berlaku pengumpulan nanah dalam otaknya yang berpunca daripada jangkitan di hidung atau jantung




  • Strok (sama ada dengan kehadiran darah beku atau sebaliknya)




  • Ketumbuhan otak benigna (tidak merebak) atau malignan (cepat merebak). Masalah juga boleh berlaku jika ada ketumbuhan merebak dari satu bahagian ke bahagian otak yang lain




  • Kehadiran darah beku tidak normal pada otak. Antara penyebab kehadiran darah beku ialah pembentukan salur darah tidak lengkap (AVM) yang menghubungkan salur darah vena dan arteri. Individu yang ada AVM mempunyai salur darah penghubung yang bergumpal dan ini adalah masalah kongenital, iaitu seseorang itu dilahirkan dengan keadaan begini. Kira-kira 50 peratus pesakit yang ada masalah AVM mengalami sawan




  • Keturunan - walaupun ada kemungkinan, tetapi risiko epilepsi disebabkan keturunan adalah sangat kecil


    Jenis dan gejala epilepsi
    Ada kalanya sesetengah pesakit boleh mengetahui mereka akan mengalami serangan sawan. Antara amaran ini ialah bau, bunyi, berasa sensasi pada kepala atau perut mahu pun kebas. Semua `perasaan' ini dipanggil `aura', tetapi ia biasanya hanya berlaku pada pesakit yang mengalami sawan separa. Antara gejala paling biasa akibat gangguan ini ialah sawan, pitam (tidak sedarkan diri), perubahan perlakuan atau emosi.

    Epilepsi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

    A. Sawan keseluruhan yang membabitkan kedua-dua belah otak (kiri dan kanan). Apabila mendapat serangan, pesakit biasanya pitam atau tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Antara gejalanya ialah:





  • Tonik-klonik - sawan keseluruhan badan yang menjadikan badan kejang dan pesakit akan jatuh. Tangan dan kaki kelihatan seperti `ditarik-tarik' atau tersentak-sentap, air liur meleleh, terkencing dan kadangkala pesakit tergigit lidah sendiri ketika serangan sawan.




  • Sawan tonik - otot menjadi kejang dan menyebabkan pesakit jatuh, tetapi tidak mengalami gejala tersentak.




  • Sawan atonik - otot tiba-tiba dalam keadaan rehat yang mengakibatkan pesakit terduduk di atas lantai.




  • Sawan mioklonik - otot kaki (sebelah atau kedua-duanya) tersentak seketika. Gejala ini juga boleh berlaku pada seluruh badan.




  • Termangu - pesakit juga boleh jadi termangu dan hilang kesedaran seketika secara tiba-tiba. Pada ketika ini pesakit tidak tahu apa terjadi di sekeliling mereka dan sedar beberapa saat kemudian.

    B. Sawan separa - yang membabitkan hanya sebelah otak. Jenis epilepsi ini boleh dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu:





  • Sawan separa ringkas - keadaan ini bergantung kepada bahagian otak yang terbabit. Ia boleh menyebabkan pesakit takut, dapat mengesan bau atau rasa yang sangat kuat. Pada masa sama, pesakit mungkin mengalami pergerakan sentakan pada bahagian kepala atau kaki secara tiba-tiba, pergerakan mata yang pelik atau rasa kebas pada sebelah badan. Kadangkala ia juga menyebabkan pesakit ternampak kilasan cahaya.




  • Sawan separa kompleks - keadaan ini boleh bermula dengan gejala sawan separa ringkas. Pesakit menjadi kurang peka pada persekitaran atau tingkah lakunya. Malah, pesakit mungkin hilang kawalan pada pergerakan tangan, mengunyah, menelan, bercakap dengan cepat, berlari, menari atau melakukan beberapa pergerakan pada satu masa. Keadaan ini dipanggil automatisme.




  • Sawan keseluruhan sekunder - Ia biasanya bermula dengan sawan separa (membabitkan hanya sebelah otak) yang kemudian merebak ke keseluruhan otak. Apabila keadaan ini berlaku, pesakit mengalami sawan tonik-klonik (keseluruhan badan).


    Kesan epilepsi
    Perkataan sawan itu sendiri sudah memberikan impak negatif kepada pesakit sama ada dewasa atau kanak-kanak. Namun epilepsi kanak-kanak lebih rumit kerana penyakit ini memberi kesan negatif terhadap otak yang sedang berkembang, yang secara langsung mempengaruhi perkembangan sosial, pembelajaran dan kelakuan pesakit.

    Dr Wong berkata, walaupun epilepsi dianggap antara masalah yang lazim tetapi masyarakat masih prejudis dan mempunyai stigma negatif terhadap pesakit. Perkara inilah yang membuatkan pesakit lebih menderita kerana pesakit kanak-kanak biasanya dibuli, diejek dan dipulaukan sehingga menyebabkan mereka tertekan, tidak mahu ke sekolah dan pelajaran merosot.

    Bagi pesakit dewasa pula, antara masalah yang dihadapi ialah diskriminasi dalam pekerjaan kerana ada majikan tidak mahu mengambil pekerja yang 'sakit'. Kalau dulu pesakit epilepsi dianggap gila dan diletakkan di hospital mental, dikurung, tidak dibenarkan berkahwin atau mempunyai anak kerana bimbang penyakit itu menjadi warisan keluarga.


    Diagnosis
    Bukan mudah untuk menentukan seseorang mengalami epilepsi atau tidak. Doktor perlu membuat pemeriksaan terperinci, termasuk mengetahui sejarah serangan sawan, tempoh serangan, sama ada pesakit hilang kesedaran atau tidak ketika diserang, adakah ia membabitkan pergerakan tangan dan kaki atau hilang kawalan air liur, pergerakan mata yang lemah serta tidak dapat mengawal pundi kencing.

    Oleh kerana pesakit biasanya tidak ingat apa berlaku, bantuan dan pemerhatian ahli keluarga diperlukan. Lebih baik jika pesakit atau ahli keluarga dapat merekod semua butir ini setiap kali pesakit mengalami serangan sawan. Untuk mengenal pasti, doktor akan melakukan ujian elektroensefalogram (EEG) untuk merekod aktiviti elektrik otak. Otak individu yang mengalami epilepsi menunjukkan perubahan pada gelombang otaknya, walaupun ketika tidak diserang sawan. Bagaimanapun, ujian ini tidak begitu tepat kerana ia gagal mengesan 40 hingga 50 peratus kes pesakit epilepsi.


    Rawatan
    Pesakit epilepsi perlu diberi rawatan segera. Ini kerana setiap kali mendapat serangan, otak kekurangan oksigen. Jika dibiarkan, keadaan pesakit boleh menjadi semakin teruk. Kekurangan oksigen pada otak bukan saja menjejaskan proses pembelajaran, terutama pada kanak-kanak, tetapi boleh menyebabkan kerosakan sel otak.

    Rawatan yang ada kini membolehkan pesakit menjalani kehidupan normal sebaik orang lain dan lebih 80 peratus pesakit boleh mengawal serangan sawan dengan pengambilan ubat secara teratur mengikut dos ditetapkan doktor.

    Dr Raymond berkata, untuk membolehkan pesakit mempunyai kehidupan normal, pesakit akan diberikan ubat anti epilepsi (AED). Ubat AED terbahagi kepada dua kumpulan: generasi pertama dan kedua. Ubat generasi pertama seperti phenytoin, phenobarbitone, carbamazepine, sodium valproate, clobazam and clonazepam biasanya akan diberikan dulu dalam rawatan awal epilepsi.

    Ubat ini juga digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami sawan separa atau sepenuhnya. Ubat generasi pertama ini bagaimanapun ada kekurangannya kerana ia mempunyai kesan sampingan serius seperti muka menjadi kasar, berat badan bertambah, jerawat, nodus limfa bengkak, pening, hilang keseimbangan, tulang menjadi lembut dan pertumbuhan lebih sel normal pada gusi.

    Ubat AED generasi kedua (ubat baru) yang kurang kesan sampingan diperkenalkan pada awal 1990-an. Kemasukan ubat seperti lamotrigine, oxcarbazepine, topiramate, tiagabine, gabapetin dan levetiracetam ke negara kita agak lewat iaitu hanya pada 2004. Namun kesan ubat ini berbeza antara pesakit. Ada yang dapat mengawal penyakit mereka sejurus selepas mengambil ubat tetapi ada yang tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Rawatan anti epilepsi biasanya ada risiko kecil seperti perubahan perlakuan dan fikiran termasuklah mempunyai keinginan membunuh diri. Justeru itu setiap pesakit yang mengambil ubat AED perlu melaporkan segera kepada doktor jika mereka mengalami perubahan emosi yang teruk, terfikir atau ada keinginan mencederakan atau membunuh diri.

    “Inilah sebabnya pesakit mesti berbincang dengan doktor terlebih dulu sebelum menjalani sebarang program rawatan anti epilepsi. Pakar perubatan perlu mengenal pasti jenis serangan sawan, umur pesakit, keperluan untuk mengelakkan berlakunya interaksi antara ubat anti epilepsi dengan ubat lain yang diambil pesakit, keadaan kesihatan pesakit dan sama ada pesakit hamil atau pun mengambil ubat pencegah kehamilan,” katanya.

    Kebanyakan rawatan dimulakan dengan satu jenis ubat dan dosnya diubah mengikut keperluan. Kekerapan pengambilan ubat juga berbeza mengikut keperluan setiap pesakit. Sesetengah pesakit mungkin hanya perlu mengambil ubat sehari sekali, tetapi ada juga pesakit perlu makan ubat dua hingga tiga kali sehari. Jadi, jangan bandingkan kekerapan atau dos ubat ahli keluarga anda dengan pesakit lain.

    Dalam sesetengah kes, pesakit memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal penyakit mereka dengan baik. Pada masa sama pesakit juga perlu berjumpa doktor mengikut jadual ditetapkan untuk menjalani ujian darah bagi mengukur paras ubat AED. Ada pesakit perlu diuji seminggu selepas rawatan dimulakan kerana kebanyakan ubat mengambil masa seminggu untuk mencapai tahap yang boleh diuji.

    “Pesakit perlu selalu berhubung dengan doktor untuk memastikan ubat yang diambil benar-benar berkesan. Selain itu pesakit diingatkan supaya kekal dengan ubat berjenama (berpaten) yang dibekalkan doktor dan tidak beralih kepada ubat generik (ubat yang tiada paten, dihasilkan mana-mana pengeluar ubat selepas paten ubat asal tamat tempoh). Kajian mendapati sesetengah ubat anti epilepsi generik kurang berkesan dan menyebabkan serangan sawan pada ramai pesakit,” katanya.


    Isu keselamatan dan bantuan
    Kebanyakan orang sering terlepas pandang perkara kecil apabila membabitkan isu keselamatan. Bagi pesakit epilepsi, semua perkara adalah penting dan perlu diberi perhatian. Ia boleh dibahagi kepada dua kategori iaitu:





  • Perlindungan kepada pesakit yang mengalami serangan sawan, ia mungkin disebabkan kecederaan ketika rebah atau tidak sedarkan diri




  • Perlindungan daripada kemalangan yang membabitkan serangan sawan, yang turut membabitkan orang lain

    Individu yang mengalami sawan berhadapan dengan pelbagai di banyak tempat dan keadaan. Bagaimanapun kecederaan ini boleh dikurangkan dengan membuat beberapa perubahan atau pengubahsuaian mudah pada persekitaran dan cara pesakit melakukan sesuatu kerja.

    Walaupun kita tidak mempunyai ahli keluarga yang menghidap epilepsi, tetapi tidak rugi jika mengambil tahu serba sedikit mengenai penyakit ini termasuklah bantuan yang boleh diberi jika pesakit mengalami serangan sawan seperti:





  • Pastikan persekitaran pesakit selamat dan tidak sesak. Elak berkumpul mengeliling pesakit kerana ketika ini otak pesakit kekurangan oksigen dan mereka memerlukan banyak oksigen.




  • Jangan ubah kedudukan pesakit jika tidak perlu. Bagaimanapun, jika pesakit jatuh di tempat yang kurang selamat, baru boleh dialihkan.




  • Jangan masukkan sesuatu ke dalam mulut pesakit. Tidak mengapa jika dia tergigit lidahnya kerana serangan sawan biasanya berakhir dalam masa beberapa saat hingga minit.




  • Jika pesakit adalah wanita, jaga kehormatannya.
    Biar sawan berakhir sendiri. Jangan cuba `betulkan' atau luruskan tangan mahu pun kakinya yang mengalami kekejangan.




  • Biasanya selepas mengalami serangan sawan, pesakit akan tertidur seketika. Justeru, pastikan pesakit dalam keadaan selamat - termasuk harta bendanya.




  • Jika serangan berlaku melebihi tempoh biasa atau pesakit mengalami serangan berulang, segera bawa ke hospital.




  • Bagi pesakit sendiri, sentiasa bawa nombor telefon rumah atau ahli keluarga yang boleh dihubungi jika berlaku kecemasan. Untuk keterangan lanjut mengenai epilepsi orang dewasa dan kanak-kanak, anda boleh layari laman web www.epilepsy.org.my.



  • 0 comments:

    Post a Comment