Recent Posts

Sunday, July 18, 2010

Risau Kitaran Haid Tidak Tetap


SAYA berumur 22 tahun dan mula berumah tangga beberapa bulan lalu. Berat badan saya 79 kilogram (kg) dengan ketinggian 156 sentimeter.
Masalahnya, saya tidak mempunyai kitaran haid yang tetap sejak di bangku sekolah. Adakalanya, haid saya selang empat hingga lima bulan, paling lama tujuh bulan.

Adakah saya masih boleh mengandung jika tidak didatangi haid? Kakak ipar saya masih boleh mengandung selepas empat bulan tidak didatangi haid.

Selain itu, saya ingin tahu adakah berat badan saya yang kurang ideal menjadi punca haid saya tertunda? Adakah tidak didatangi haid yang lama tanda penyakit dalam rahim atau berhubung kait dengan emosi?

NUR,
Kuala Lumpur.



Jawapan

DALAM sistem pembahagian berat badan, berat badan seseorang dibandingkan dengan ketinggiannya dan dinyatakan dalam unit indeks jisim berat (BMI).

Terdapat kategori berat badan kurang, ideal, berlebihan, obes dan obes morbid. Dengan ketinggian anda, anda termasuk dalam kategori obes dengan memiliki BMI 32kg/m2.

Dapatkan panduan pakar pemakanan untuk mengurangkan pengambilan kalori dan lakukan senaman rutin bagi menurunkan berat badan anda sebanyak lima peratus (empat kilogram) terlebih dulu.

Lakukan langkah seterusnya sehingga ia di bawah kategori obes (72kg dan kurang), itupun ia masih dalam kategori bukan ideal iaitu berlebihan. Berat badan ideal bagi ketinggian anda pula adalah di antara 46 hingga 60kg.

Kajian perubatan moden sebelum ini menunjukkan wanita yang mempunyai berat badan obes dikaitkan dengan masalah kesuburan. Terkini, kajian menunjukkan wanita dengan berat badan berlebihan juga mempunyai masalah kesuburan akibat gangguan ovulasi.

Kajian juga menunjukkan dengan mengurangkan berat badan sebanyak lima peratus saja, ovulasi didapati mula berlaku.

Sukar untuk meletakkan berat badan obes sebagai satu punca saja untuk kes anda sungguhpun obes merupakan punca utama kesukaran doktor memberikan rawatan kesuburan dengan jayanya (walaupun dengan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).

Anda mungkin mempunyai satu saja atau lebih faktor berkaitan. Seperti yang anda ajukan, penyakit di dalam rahim, gangguan emosi dan perkara lain seperti penyakit dalam ovari juga boleh menyebabkan gangguan haid.

Selain itu, tidak semua kitaran haid wanita obes tidak produktif (tiada ovulasi). Kadangkala berlaku juga ovulasi dalam kitaran tertentu. Ini menjelaskan mengapa kakak anda hamil.

0 comments:

Post a Comment